Zaman Logam

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kita kembali dalam topik perbincangan pengajian Arkeologi kita pada hari ini. Saya akan menjelaskan serba-sedikit mengenai apa itu Zaman Logam dalam perspektif  Arkeologi. Maka, dengan itu harap anda semua dapat memahami tentang perkara yang akan saya sampaikan mengenai tajuk ini.

Apakah itu Zaman Logam?
Zaman Logam berlaku selepas Zaman Neolitik.  Menurut beberapa pandangan, Zaman Logam di Malaysia dikatakan telah pun ada kira-kira 4000 tahun dahulu. Pada masa ini manusia prasejarah telah mencipta peralatan dan alat-alat memburu serta senjata daripada gangsa dan besi.
Antara tempat-tempat yang terkenal dengan penemuan Zaman Logam ini ialah Negeri Selangor. Penemuan zaman logam ini didapati di sekitar sungai melalui beberapa ekskavasi-ekskavasi arkeologi yang dilakukan secara tidak sengaja di kawasan sekitar Selangor. Antara tapaknya ialah Sungai Bernam, Sungai Langat, Sungai Sedu, Sungai Kelang dan Sungai Semenyih.
Peranan sungai-sungai ini sangat penting kerana ia merupakan tempat masyarakat tempatan untuk mencari sumber makanan dan juga sebagai jalan perhubungan utama antara masyarakat di tanah pamah dengan masyarakat di pedalaman. Kekayaan lembah-lembah sungai di Selangor dengan sumber logam timah membolehkan masyarakat tempatan menjalinkan hubungan perdagangan dengan masyarakat luar khususnya dengan masyarakat di utara Semenanjung dan juga pedagang-pedagang yang datang dari Vietnam.
Hal ini dikatakan demikian kerana logam timah diperlukan untuk menghasilkan barangan gangsa. Untuk mendapatkan logam timah ini, sistem pertukaran barangan (barter) telah dijalankan di mana timah telah ditukarkan dengan barangan daripada gangsa seperti gendang dan loceng yang diperbuat daripada gangsa.


Image result for gendang dongson zaman gangsa
Gendang dan loceng gangsa ini dianggap sebagai simbol status kepada ketua masyarakat tempatan yang menyimpannya. Antara tapak-tapak di mana artifak gangsa ditemui adalah di Kampung Sungai Lang, Jenderam Hilir, Sidu dan Lembah Sungai Klang.

Tapak-tapak ini menjadi bukti bahawa perkembangan masyarakat setempat, daripada sistem sosio-budaya zaman Neolitik kepada perkembangan zaman logam adalah kerana faktor adanya jalinan perdagangan dengan masyarakat luar.

Tapak-tapak arkeologi zaman Logam yang ada di Malaysia dan Asia Tenggara
Penemuan-penemuan artifak zaman logam ini tersebar meluas di beberapa tempat di Malaysia dan Asia Tenggara ini. Antaranya di Kampung Batu Buruk, Kuala Terengganu, Kampung Gaung, Kampung Seberang Limbongan, Besut dan Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu.

Seperti zaman-zaman prasejarah yang lain, zaman Logam ini tersebar dan berkembang melalui aktiviti perdagangan di mana manusia pada zaman ini membawa masuk barang-barang dagangan dari Vietnam dan India.
Ada daripada mereka juga datang ke Malaysia dan wilayah-wilayah Asia Tenggara yang lain untuk menjalankan aktiviti perdagangan. Yang paling terkenal pada masa ini ialah gendang dongson yang datang dari Vietnam.
Bentuk-bentuk peralatan logam zaman Logam di Malaysia dan Asia Tenggara
Terdapat beberapa penemuan peralatan logam yang ditemui dan ia dinamakan mengikut pengkhususan tertentu. Antaranya dijumpai artifak besi kapak panjang bersoket yang juga dikenali dengan nama tulang mawas.


Related image

Antara peralatan yang lainnya ialah sabit, gendang dongson, barangan perhiasan seperti manik-manik dan sebagainya.
Pentarikhan zaman Logam di Asia Tenggara
Dalam usaha menentukan tarikh sesuatu artifak, terdapat dua kaedah dalam menentukan tarikh penemuan peralatan pada zaman Logam.
A. Pentarikhan relatif 

Pentarikhan relatif adalah berdasarkan perbandingan. Sesuatu tapak atau artifak itu dibandingkan dengan menyatakan sama ada lebih tua atau lebih muda. Namun, pentarikhan ini tidak memberikan tarikh yang mutlak. Terdapat beberapa jenis kaedah pentarikhan relatif iaitu stratigrafi, sistem 3 zaman dan sebagainya.

B. Pentarikhan Kronometrik
Pentarikhan jenis ini merupakan pentarikhan mutlak, selalunya menggunakan prinsip radiasi. Antara pentarikahn jenis ini adalah pentarikhan radiocarbon, kalendar, termoluminescence (TL) dan sebagainya.


Sekian sahaja perkongsian penulis pada kali ini mengenai Pengajian Arkeologi: Zaman Logam. Terima kasih. ðŸ™‚

Comments